Selasa, 27 Julai 2010

Suami, isteri perlu bergerak seiring bentuk keluarga bahagia

Artikel ni saya ambil dari Berita Harian untuk rujukan kita semua.



Tiada siapapun yang mahu anak2 menjadi liar dan membelakangi ajaran agama. Tentu mengaibkan dan menyedihkan hati ibu bapa seandainya ada di kalangan anak2nya tempang perjalanan hidup di dunia tanpa suluhan cahaya agama yang luhur.


Tambahan pula, dewasa ini kita sedang berhadapan dengan gejala sosial yang amat gawat melanda remaja dan belia. Pelbagai langkah dan pendekatan sudah dan sedang diambil bagi menanganinya, namun yang jelas semuanya seakan-akan tidak berkesan dalam membetulkan keadaan.


Orang pertama yang mesti memegang tanggungjawab sepenuhnya dalam memberikan pendidikan dan asuhan agama kepada anak2 ialah ibu bapa. Mungkin selama ini kita banyak membebankan golongan ibu dalam memikul amanah sebagai pembimbing dan pengasuh utama mendidik anak-anak. Bagaimana dengan peranan ayah atau bapa?


Dalam hal ini Saidina Ali bin Abi Talib ada meninggalkan pesanan bernas dan bermanfaat kepada kita berhubung pendidikan kepada anak2. Kata Ali kepada anaknya Hasan: "Aku segera mengajarmu adab sebelum hatimu menjadi keras dan fikiranmu menjadi sibuk memikirkan pelbagai perkara yang lain." Begitulah kesungguhan Saidina Ali dalam membentuk peribadi anaknya dan kata2 beliau itu sewajarnya menjadi panduan kepada kita untuk tidak meremehkan tanggungjawab menyalurkan asuhan akhlak yang mulia kepada anak2.


Imam Jaafar asy-Shafiq ada mengatakan: "Sesungguhnya sebaik2 wasiat yang diwariskan oleh ayah untuk anak2 mereka ialah adab dan bukannya harta." Selama ini kita memikirkan bagaimana untuk menghimpunkan seberapa banyak harta benda sebagai harta untuk ditinggalkan kepada anak2 apabila kita sudah tiada di alam maya ini, namun sebenarnya 'harta' paling bernilai yang semestinya ditinggalkan buat anak2 kita ialah sahsiah peribadinya, akhlaknya, kekuatan ilmu pengetahuannya dan kesolehan beragama. Inilah yang seharusnya kita tinggalkan buat mereka. Imam Ali Zainal Abidin as-Sajjad pula menegaskan: "Adapun hak anak2mu atas dirimu, ketahuilah ia berasal daripadamu, baik dan buruknya bergantung padamu. Sesungguhnya engkau bertanggungjawab untuk mengasuhnya, mendidiknya, mengenalkannya kepada Tuhannya dan membantu untuk taat kepada-Nya. Dan engkau mesti melaksanakan urusan ini dengan keyakinan bahawa jika berbuat baik kepadanya akan mendapat pahala dan jika berbuat buruk kepadanya akan mendapat dosa."


Dalam usaha kita mendidik dan mengasuh anak2 mengerjakan segala suruhan agama dan membentuk adab, jangan lupa seringlah berdoa kepada Allah agar kita dipermudahkan dan anak2 akan dapat mengikutinya dengan sempurna. Imam Ali Zainal Abidin dikatakan selalu berdoa ketika mendidik anak2nya dengan doa ini: "Dan tolonglah kami dalam mengasuh, mendidik dan memperbaiki anak2 kami." Insya-Allah dengan iltizam yang kukuh dan semangat padu kita mampu membentuk peribadi anak2 dengan berkesan dan menjadikan mereka anak2 yang soleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan